Konsep ‘glokal’ panduan usahawan bumiputera
Oleh NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 27 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa usahawan bumiputera menjadikan konsep ‘glokal’ sebagai panduan bagi merangka strategi perniagaan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, strategi tersebut menekankan langkah memperkukuhkan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) di peringkat domestik terlebih dahulu sebelum bersaing di peringkat global.
‘‘Konsep ‘glokal’ harus dijadikan sebagai strategi perniagaan bagi membolehkan kita menjadi pelaku global yang hebat dan juga bakal menentukan sama ada kita berjaya meniti ombak persaingan antarabangsa atau sebaliknya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Usahawan Glokal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Konsep ‘glokal’ sebelum ini pernah diungkap oleh Najib semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada tahun 2005 bagi merujuk kepada ‘Melayu Glokal’ iaitu mereka yang bersedia bersaing di peringkat antarabangsa dan pada masa sama tidak melupakan agama Islam dan budaya Melayu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, gesaannya supaya usahawan bumiputera berpegang kepada konsep berkenaan adalah berikutan persaingan yang semakin hebat kerana Malaysia kini beralih kepada pasaran terbuka.
‘‘Kita jangan berfikir secara tertutup, sebaliknya harus bersikap proaktif bagi menghadapi persaingan ini dan ia harus dilakukan bukan sekadar sedikit-sedikit sebaliknya dalam bentuk lonjakan berganda,’’ katanya.
Tambah Najib, bagi menghadapi persaingan itu, usahawan terbabit perlu sanggup bekerja kuat iaitu masuk bertugas sebelum pukul 7 pagi dan pulang selepas pukul 8 malam dengan waktu kerja enam hari seminggu.
‘‘Mereka harus mempunyai fokus dan meletakkan jangka masa bila matlamat hendak dicapai dan mesti berusaha berhabis-habisan sehingga berjaya.
‘‘Setelah berjaya satu peringkat, ia harus berterusan kepada peringkat lain, dulu pendapatan RM1 juta, kemudian naik RM10 juta. Kita tidak boleh berpuas hati dan kata saya telah mencapainya, sepatutnya kena naik RM1 bilion,’’ tegasnya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, usahawan yang berpegang kepada konsep itu juga perlu memastikan produknya mempunyai jenama yang boleh diterima di peringkat antarabangsa serta kualiti dan pembungkusan yang baik.
Usahawan terbabit, kata Najib, juga harus menghindarkan diri daripada sindrom 4B (Banglo, Bot, Benz dan Bini) kerana ia akan menyebabkan mereka hilang fokus terhadap keutamaan yang perlu diberikan.
Dalam pada itu, beliau meminta usahawan terbabit menembusi pasaran global dengan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah memperkenalkan tiga jenama iaitu Halmart, Forest’Secret dan MalaysiaKitchen.
‘‘Ia adalah rangkaian pasar raya, kedai dan restoran di peringkat tempatan dan antarabangsa iaitu Halmart bagi menjual pelbagai barangan halal dari negara ini, Forest’Secret (barangan kosmetik) dan MalaysiaKitchen (makanan tempatan),’’ jelasnya.